Book review by Dewi Murni Mohamed

TAJUK: Kepimpinan Wanita Dalam Islam : Kedudukannya Dalam Syariah

PENGARANG: Andek Masnah Andek Kelawa

PENERBIT: Penerbit UKM

HARGA: RM20

KEJAYAAN tamadun awal dalam mencapai tamadun tinggi berupaya melahirkan para cendekiawan dan ahli falsafah terkemuka. Namun, arus kemajuan itu tidak membabitkan wanita. Secara tradisinya, peranan wanita hanya meliputi hal ehwal rumahtangga saja. Malah, wanita dianggap tidak mempunyai hak bersuara, statusnya ialah dalam kasta kedua serta mereka dianggap sebagai pengikut lelaki saja, dan tanggapan itu tertanam teguh dalam jiwa masyarakat hinggalah kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Bagaimanapun, suasana perundangan dan kepemimpinan yang masih meletakkan wanita sebagai pihak kedua sekali lagi mengundang dilema dan kontrovesi berpanjangan mengenai status wanita di sisi masyarakat. Justeru, bagi memperjelaskan kedudukan kepemimpinan wanita dalam Syariah, buku ini membincangkan mengenai pengiktirafan Islam terhadap wanita sebagai manusia yang mempunyai rasa kemanusiaan, kemuliaan dan keahlian sama seperti lelaki, tanpa sebarang diskriminasi. Wanita juga mempunyai hak untuk beragama, dihargai sebagai individu sama ada mereka bergelar ibu, isteri atau seorang puteri - mereka berhak menuntut ilmu, memiliki dan mengurusnkan harta. Dan, Islam sudahpun menetapkan beberapa hukum tertentu, khusus untuk kaum wanita sebagai langkah menjaga dan memulihara kepentingan kaum wanita sekaligus menjaga keharmonian masyarakat. Buku ini memperkatakan secara terperinci mengenai kedudukan kepemimpinan wanita di arena pentadbiran negara menerusi paparan hasil kajian mengenai institusi Khilafah. Menurut kajian itu, ciri asas kepemimpinan wanita ialah berakal, baligh, merdeka, Islam, berilmu, bertaqwa, berakhlak mulia, berwibawa, berani, berfikiran terbuka dan bertindak positif. Selain itu, buku setebal 178 muka surat ini turut mengupas senario semasa kepemimpinan tokoh politik wanita tempatan, juga wanita sebagai pengundi dan ahli parlimen di Malaysia.

 

Fay Oleh Dewi Murni Mohamed 

TUJUH tahun lalu, Micheal Fay, seorang remaja Amerika Syarikat yang bersekolah di Singapura dijatuhkan hukuman penjara dan sebatan rotan sebanyak empat kali. Kesalahan yang dilakukannya ialah merosakkan harta benda awam. Rayuannya kepada Presiden Singapura agar diampunkan kesalahan dan dikecualikan daripada hukuman sebatan ditolak dan dia menjalani hukumannya. Hukuman itu menimbulkan polemik hangat di kalangan rakyat Amerika sehingga Presiden Bill Clinton menyifatkan hukuman rotan itu sebagai tidak sepadan dengan kesalahan yang dilakukan oleh Fay. Beliau kemudian menulis surat kepada Presiden Singapura bagi menyokong permohonan pengampunan warganegaranya itu. Sebenarnya Fay bukanlah satu-satunya remaja Amerika yang merosakkan harta benda awam di Singapura. Seorang rakan sekelasnya, Stephen Freehill, 17, yang berasal dari Chicago pernah dihadapkan ke mahkmah atas tuduhan menyimpan barang curi termasuk plet teksi dan papan tanda lif. Kisah Fay dan Freehill dibangkitkan semula sebagai contoh terbaik bagi menunjukkan betapa jelasnya perbezaan nilai yang dianuti masyarakat Barat dan Timur. Bagi Clinton, perbuatan merosakkan harta benda awam bukan satu kesalahan berat. Itulah pandangan lebih kurang separuh rakyat Amerika yang tidak bersetuju dengan hukuman yang dikenakan. Ini tidak menghairankan kerana rakyat negara itu sememangnya suka merosakkan harta benda awam. Contengan (grafiti) di dinding bangunan awam di kota raya New York jelas membuktikan ia adalah budaya hidup masyarakat Amerika. Dalam sebuah negara yang dianggarkan seorang wanita dirogol pada setiap 1.3 minit, perbuatan merosakkan harta benda awam bukan isu penting. Lantaran itu, Clinton tanpa segan silu menyatakan hukuman rotan dikenakan ke atas Fay adalah tidak sepadan dengan kesalahannya. Bagi Clinton, ada banyak lagi kesalahan dan jenayah yang harus diberi perhatian, iaitu:*Kejadian rogol meningkat empat kali ganda dalam tempoh 10 tahun;*Seorang daripada setiap tiga wanita Amerika menjadi mangsa rogol;*Kadar rogol Amerika empat kali ganda daripada Jerman, 13 kali ganda daripada England dan 20 kali ganda daripada Jepun;*Sekurang-kurangnya seorang daripada dua wanita mengalami gangguan seksual;*Setiap 15 saat, seorang wanita didera suami*Satu perempat daripada jenayah ganas di Amerika ialah serangan ke atas isteri;*Dalam tempoh 10 tahun, bilangan wanita dipenjara meningkat sebanyak 202 peratus;*89 peratus daripada isteri yang tidak berumah mengalami penderaan fizikal dan seksual; Justeru, tindakan tegas yang diambil kerajaan Singapura itu seharusnya menjadi iktibar kepada kita iaitu keadilan harus ditegakkan tanpa mengira pangkat dan warna kulit. Orang lain boleh menggunakan kayu ukur mereka bagi menjustifikasikan sama ada hukuman dan peraturan yang dikenakan itu sepadan atau tidak, namun kita sendirilah yang perlu menentukan apakah kayu ukur itu sesuai dengan kita atau sebaliknya. Dan, memetik firman Allah SWT dalam surah An-Nisa' ayat 135, jelas menunjukkan betapa kitalah yang perlu berusaha menegakkan kebenaran itu walaupun menerima cemuhan dan kutukan: "Hai orang-orang beriman, jadilah kamu orang-orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kepada Allah SWT biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa, dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya atau miskin, Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka, janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana hendak menyimpang dari keadilan." (An-Nisa': 135).

 

SIDANG REDAKSI PENDIDIKAN AGAMA WANITA ALAM SEKITAR POLITIK AM HIIBURAN KESIHATAN PELANCONGAN

KE LAMAN UTAMA