KEMANA PERGINYA WANG ZAKAT?
Oleh : Zulkiflee bin Abdul Latiff

Pada penghujung Disember lalu, satu seminar zakat seluruh Indonesia telah diadakan di Batam. Untuk menunjukkan betapa tingginya harapan rakyat Indonesia terhadap institusi zakat, maka orang yang dipanggil untuk merasmikannya ialah bapak Presiden sendiri, Abdurrahman Wahid. Tiga orang menteri turut membentangkan kertas kerja. Zakat dianggap sumber pendapatan kerajaan yang penting di Indonesia walaupun hakikatnya kutipan zakat daripada hampir 200 juta penduduk beragama Islam di negara itu hanyalah RM 50 juta, lebih kurang sama banyak dengan kutipan zakat tahunan di Kuala Lumpur sahaja.

Lain halnya di Malaysia. Di negara ini, duit zakat tidaklah begitu diharapkan. Apatah lagi banyak institusi lain yang turut bertungkus lumus membangunkan kehidupan rakyat khususnya umat Islam. Namun ini tidak bermakna orang ramai tidak mahu mengambil tahu kemana perginya wang zakat yang mereka keluarkan. Mereka mahu tahu misalnya, mengapa masih ramai orang Islam yang miskin walaupun mereka layak menerima wang zakat? Berapa banyak wang yang benar-benar sampai kepada lapan asnaf atau golongan penerima zakat itu? Bagaimana pula Baitulmal menguruskan baki wang yang tidak diagihkan-dileburkan atau disimpan begitu sahaja?

Kutipan zakat yang dibuat oleh majlis agama Islam negeri-negeri, samaada melalaui Pusat Pungutan Zakat atau Baitulmal telah meningkat dari lebih kurang RM 40 juta setahun dalam tahun 1990 kepada kira-kira RM 200 juta pada tahun 1999. Ia mengandungi lebih kurang RM 150 hingga RM 160 juta zakat harta dan RM 35-45 juta zakat fitrah.

Tetapi mengapakah zakat tidak dapat menyelesaikan masalah sosial dan kemiskinan? Bagi Haji Mohamad Dahan Abdul Latiff, Pengurus Besar, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, soalan yang sering diasak kepada institusi zakat ini sebenarnya tidak adil. "Masalah negara mestilah diselesaikan oleh kerajaan bukan institusi zakat'" katanya yang melihat isu kemiskinan dan pembangunan sosial sebagai masalah negara. Menurut beliau sekali pandang, RM 200 juta adalah angka yang besar. Tetapi ia sebenarnya tidak besar kerana dana tersebut dikongsi oleh 14 buah majlis agama Islam.

Sebenarnya asnaf yang lapan-fakir, miskin, amil, mualaf, hamba, orang yang berhutang, fisabilillah dan musafir-sentiasa terdedah kepada pentafsiran baru yang sesuai dengan perkembangan semasa. Misalnya, memandangkan tiada lagi hamba di zaman ini di Malaysia, skop perbelanjaan wang zakat untuk asnaf hamba juga dimaksudkan untuk membebaskan seseorang dari perhambaan moden. Ada negeri-negeri menggunakan istilah membebaskan dari pelacuran, membebaskan dari kejahilan, membebaskan dari majikan yang menganiaya seseorang pekerja Islam seperti seorang pembantu rumah 

yang didera oleh majikannya. Dengan pentafsiran-pentafsiran baru ini, peranan zakat diharap semakin jelas. Penolong Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob berkata yang pentingnya ialah "maqasid syarak atau tujuan syarak itu mesti ada." Beliau juga meminta supaya majlis fatwa mengkaji kemugkinan meluaskan pengertian 'orang yang berhutang.'

Selain itu, sudah tiba masanya asnaf mualaf diberi perhatian. Walaupun zakat selama ini cuma diberi kepada orang Islam atau yang baru memeluk Islam, pemberian kepada orang bukan Islam mungkin perlu difikirkan. Dalam masyarakat berbilang agama di negara ini, potensi menarik orang bukan Islam begitu besar sekali. Gerakan kristian nampaknya lebih cergas dan berjaya menarik mereka yang tidak beragama.

"Kita patut beri derma pada orang yang bukan Islam. Kalau adapun yang dibuat sekarang, ia tidak begitu jelas. Ini akan memberi gambaran positif terhadap Islam sebagai agama yang adil dan universal," jelas Abdul Monir. 

RUJUKAN
Muhd. Zuki Pileh, Agama-kemana perginya wang zakat?, Massa, 2000.

.
Amalkan Islam dalam keluarga

oleh:Latifah Abdul Rashid

Hidup bersuami isteri memerlukan persefahaman dan saling bertolak ansur. Jika init idak ada sudah pasti rumah tangga yang dibina akan menuju keretakan. Justeru itu, setiap suami isteri perlu memainkan peranan mereka dengan lebih baik untuk memastikan kebahagiaan berpanjangan.

Nor Aliah Lee Abdullah, 28, berkata bahawa saling mempercayai penting dalam hubungan suami isteri. 

"Saya memang trust my husband. Setakat ini alhamdulillah, dia sedar yang dirinya sduah jadi suami orang. Ada isteri dan anak di rumah. Walaupun banyak dugaan di luar tapi so far imannya kuat," kata Nor Aliah.

Menurut Nor Aliah, suaminya, Aziz M. Osman, walaupun seorang pengarah filem yang dikenali ramai, tetapi beliau tahu membataskan dirinya ketika di luar. Selain itu, menurut Nor Aliah, suaminya juga seorang family man. Jika tidak sibuk dengan jadual shooting, Aziz akan sentiasa bersama keluarga tercinta.

Ketika ditanya tentang gosip liar, Nor Aliah hanya ketawa kecil. Baginya, dia tidak fikir tentang perkara-perkara seperti itu. Menurutnya, dia lebih suka mengelakkan diri dari digosip. Begitu juga dengan suaminya.

"Saya sentiasa sibuk dengan shooting. Selalunya bila habis shooting, saya balik rumah. Begitu juga dengan Aziz. Sebab itulah, rasanya memang jarang ada gosip liar yang melanda diri kami berdua," kata wanita gigih ini.

Selain sibuk dengan lakonan, Nor Aliah adalah Pengurus Paradigma Filem Sdn Bhd, syarikat milik suaminya. Walaupun sibuk dengan lakonan dan menguruskan syarikat, keutamaan pada keluarga tidak diabaikan.

Hasil perkahwinannya dengan Aziz, mereka dikurniakan tiga cahayamata. Puteri Nur Asyqin, 7, Putera Nur Iman, 5 dan Puteri Nur Aisya, 10 bulan. Puteri Nurul Fatehah, 12, adalah hasil perkahwinan Aziz terdahulu.

Nor Aliah yang kini sudah pun bertudung atas kerelaan sendiri, mengakui bahawa dia akan terima watak yang memerlukan dia bertudung sahaja.

"Setakat ini, saya banyak terima watak yang tidak memerlukan saya pakai tudung. Kalau boleh di dalam dan di luar skrip pun saya mahu bertudung," jelasnya yang kelihatan makin anggun bila bertudung.

Bagi Nor Aliah, bertudung dapat melindungi diri seseorang wanita. Bahkan suami dan kelaurga mertuanya turut memberi sokongan kuat kepadanya. Dia juga turut melahirkan rasa syukur kerana diberi Allah seorang suami yang menitik beratkan soal agama di dalam keluarga.


KESEDERHANAAN MEMBAWA BERKAT
Oleh: Che Rashidah Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: "Sebaik-baik pekerjaan adalah sederhana". Sekalipun sesetengah ulama berpendapat kesederhanaan anjuran Nabi Muhammad s.a.w. ini tidak meliputi bidang ibadah yang seharusnya dilaksanakan semaksimum mungkin, namun anjuran ini amat wajar diamalkan dalam kehidupan sehari-hari terutama dalam soal berbelanja.

Kita ambil keadaan sekarang ketika berlaku keadaan ekonomi yang kurang "selesa", masyarakat dapat membantu memulihkan ekonomi dengan mengamalkan hidup bersederhana.

Ini selaras dengan firman Allah, "Dan mereka yang apabila berbelanja tidak dia terlampau boros dan tidak pula terlampau kedekut".

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin, dalam satu temubual berkata, Islam benci orang boros seperti juga orang
kedekut kerana mereka adalah golongan yang tidak tahu mensyukuri nikmat Allah.

Sedangkan Allah mengurniakan rezeki kepada manusia untuk dinikmati diri sendiri, suami atau isteri, keluarga dan untuk semua. Sebab itu dalam Al-Quran
surah Waddhuha menyebut antara maksudnya "Dan adapun nikmat yang Tuhan berikan kepada kamu itu hendaklah ditunjukkan, dihamburkan".

Abdul Hamid juga menyebut kesederhanaan dari segi emosi dan berfikir jika Muslim tidak mahu kecundang ketika menghadapi situasi yang tercetus dalam era Internet yang penuh cabaran kini.

Sebab itu Allah berfirman, "Kalau ada apa-apa juga isu, berita, perkhabaran, kaji, selidik, dan saring dulu mana baik buruk hingga ternyata atau mudah kamu buat keputusan."

Kalau tidak kita akan terjerumus ke dalam perangkap samar dipasang oleh mereka yang hendak merosakkan Islam, kata Abdul Hamid.

Beliau berkata semua perkara dalam Islam adalah bertitik-tolak dari aqidah yang merangkumi akhlak dan syariah.

Ia bererti aqidah Islam adalah sederhana yang tidak terlampau kiri atau terlampau kanan.

"Contohnya kepercayaan kita tidak terlampau kiri hingga ego dan timbul keangkuhan tidak mengakui wujudnya maha berkuasa Allah seperti golongan atheis, "free thinker" dan komunis. Kita juga tidak terlampau kanan hingga mengakui yang maha berkuasa itu wujud terlampau banyak serta ada tuhan langit dan tuhan bumi", katanya.

Apabila kita mengakui adanya Tuhan dan yang maha berkuasa, ini dikatakan sederhana.

"Oleh itu dalam Islam kalau aqidahnya sederhana maka syariahnya pun sederhana, akhlaknya pun sederhana dan segala-segalanya sederhana".

Contohnya perkara makan minum, Islam tidak ekstrim. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang maksudnya "kami orang-orang Islam tidak makan melainkan bila
berasa lapar dan bila kami makan tidaklah sampai kenyang."

Islam melarang seseorang itu menahan dan mengempiskan perutnya tidak makan dan minum sampai membahayakan diri. Puasa dalam Islam adalah sederhana iaitu berpuasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Begitu juga dalam soal lain, seperti tidur, Islam melarang seseorang itu menyengkang matanya tanpa sebab, bermotif atau protes kerana Nabi berkata ada hak mata. Tetapi jangan pula tidur berlebihan.

Seperti firman Allah dalam Al-Quran, "Begitulah jadi kamu umat yang pertengahan, umat yang sederhana", yang tidak ekstrim kiri dan tidak ekstrim kanan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Azam Abdul Rahman, berkata soal kesederhanaan dalam Islam dapat dilihat dalam surah Al Baqarah ayat 143 yang bermaksud "demikianlah kami menjadikan kamu umat wasathoq agar kamu menjadi saksi ke atas manusia dan agar rasul menjadi saksi ke atas kamu".

Pada pandangan beliau umat wasathoq ini adalah umat adil bermakna umat yang dapat mengimbangkan kehidupan di dunia dan akhirat, yang boleh diharapkan menjadi saksi kepada kebenaran dan keadilan, yang satu dan mempersatu, yang cintakan keamanan, yang dihormati dan yang terbaik.

"Oleh itu umat wasathoq dikaitkan menjadi saksi ke atas manusia dan hanya orang yang adil boleh menjadi saksi. Kalau nak jadi adil mesti menjadi terbaik dari segi sahsiah, akhlak, seimbang dalam kehidupannya, tidak terlalu keduniaan dan tidak terlalu keakhiratan", katanya.

Untuk menjadi umat yang sederhana dalam semua hal jika diambil tafsiran tadi iaitu umat yang seimbang dan adil, seseorang itu mestilah menjadi umat yang berilmu.

Sebagaimana disebut oleh Malik bin Nabi seorang pemikir Islam yang unggul dari Algiers: "Antara penyakit umat Islam di dunia sekarang ini ia malas berfikir akibat daripada malas membaca".

Sifat kesederhanaan juga digalakkan terutama dalam menghadapi kegawatan ekonomi sekarang ini dan Azam berkata segala bentuk pemaparan imej dalam masyarakat yang bersifat konsumerisme mestilah digunakan dengan bijak dan mengikut kemampuan tanpa pembaziran.

Berhubung sifat tamak dan membazir, Azam merujuk kepada konsep istikhlaf yang diutarakan oleh Yusof Qardawi: "Harta di dunia ini adalah amanah Allah kepada manusia dan Allah akan mengukur kebaikan seseorang itu bergantung dengan bagaimana dia menunaikan amanah tersebut sebaik mungkin".

Azam juga berkata, kesederhanaan dalam Islam bergantung kepada soal sistem. Kalau sistem ekonomi sesebuah negara tidak menekankan kepada pemerataan atau melihat kepada soal pembahagian kekayaan ini secara adil maka akan wujud masyarakat 20/80.

"Maknanya 20 peratus daripada masyarakat menguasai 80 peratus kekayaan negara. Manakala 80 peratus lagi masyarakat menguasai 20 peratus kekayaan negara. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Hamid Othman, pernah berkata ukuran kesederhanaan ialah tidak terlalu kedekut dan tidak pula terlalu
membazir.

"Dalam konteks kehidupan, kita perlu elakkan daripada amalan tidak mahu berbelanja langsung atau berbelanja berlebihan ."

Ini kerana pelaksanaan kesederhanaan itu sendiri adalah berbeza berdasarkan suasana dan kemampuan.

"Dalam suasana ekonomi sekarang, berjimat lebih dekat dengan konsep kesederhanaan. Oleh yang demikian, apa yang harus diutamakan ialah keperluan asas dan bukan keperluan mewah," katanya.

SIDANG REDAKSI PENDIDIKAN AGAMA WANITA ALAM SEKITAR POLITIK AM HIIBURAN KESIHATAN PELANCONGAN

KE LAMAN UTAMA