BAHASA SARAWAK KINI DITERIMA DALAM BAHASA KEBANGSAAN
oleh: Cik Rashidah Abdul Ghani


KUALA LUMPUR: Terlalu banyak bahasa Inggeris diterima pakai dalam Bahasa Melayu dewasa ini hinggakan kadang-kadang ia kelihatan terlalu keInggerisan hingga hilang lenggok keMelayuannya.

Senario sebegini kurang sihat dan langkah-langkah perlu diambil untuk membendung pencemaran ini.

Atas kesedaran itulah Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengumpulkan kira-kira 75,000 kosa kata dari 26 bahasa suku kaum di Sarawak untuk diterapkan menjadi bahasa kebangsaan. Terdapat 61 bahasa sukuan di Sarawak.

Usaha pengumpulan kosa kata ini yang bermula sejak tahun 1980 melibatkan dua projek besar oleh DBP cawangan Sarawak bagi memenuhi peranannya dalam fungsi pembinaan bahasa Melayu.

Pertamanya, projek penyelidikan atau pengumpulan kosa kata bahasa-bahasa sukuan Sarawak dan keduanya projek penyelarasan kosa kata sukuan untuk diserapkan ke dalam bahasa Melayu.

Ketua Bahagian (S1) Pengembangan Bahasa sektor swasta DBP, Puan Noresah Baharom berkata, matlamat projek ini ialah mengumpulkan sebanyak mungkin kosa kata pelbagai bahasa sukuan untuk diterbitkan daftar katanya.

Ia juga untuk memperkaya khazanah perbendaharaan kata umum bahasa Melayu melalui proses penyerapan kosa kata bahasa-bahasa sukuan.

Berdasarkan matlamat ini maka pendekatan pengumpulan hanya memberi tumpuan kepada padanan kata sahaja, katanya.

Beliau berkata, dalam pada itu kerja-kerja pengumpulan kosa kata dan penyelidikan dijalankan oleh satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua
Unit Penyelidikan Bahasa (DBP) dengan menggunakan khidmat informan dari sukuan yang ditangani.






Ahli-ahli jawatankuasa itu pula dilantik di kalangan yang mahir dalam sesuatu bahasa sukuan bagi mewakili bahasa tersebut.

Tugas jawatankuasa ini ialah menyelaras, memilih dan membawa senarai kosa kata yang telah disepakati di peringkat negeri ke sidang penyelarasan bahasa sukuan Sabah/Sarawak berdasarkan format yang ditetapkan.

Puan Noresah berkata hasil pengumpulan yang telah sempurna diproses (telah melalui proses pensahihan dan sebagainya), didokumenkan dalam bentuk senarai atau daftar kata beserta padanan kata, sama ada dalam susunan bahasa sukuan-bahasa Melayu atau bahasa Melayu-bahasa sukuan. Tiada "takrifan" kata diberikan (padanan).

Projek penyelarasan kosa kata sukuan iaitu penyerapan ke dalam bahasa Melayu telah dimulakan pada tahun 1987.

Setakat ini hanya 7 bahasa sukuan yang terlibat iaitu bahasa Melayu Sarawak, Iban, Melanau, Bidayuh, Kayan, Kenyah dan Lun Bawang.

Beliau berkata, kriteria pemilihan kata oleh DBP berdasarkan antaranya ianya adalah kata baru iaitu kata yang belum ada dalam bahasa Melayu tetapi mempunyai konsep dan berpotensi menjadi istilah. Contoh kata "Induruk" (bahasa sukuan Iranun (Sabah) yang membawa makna makan sedikit sebelum tidur (malam) atau dalam bahasa Inggeris "supper".

Dalam pemilihan itu, masing-masing negeri berbincang dan memilih kata yang sinonimnya senang, lunak dan ada potensi jadi istilah dan berpotensi berkembang.

Menurut beliau, kata yang ada potensi jadi istilah merangkumi bidang botani, zoologi, perhutanan, pertanian dan perubatan.

Dari segi botani atau pertanian contohnya kata "Dahit" (Kadazan Dusun) bermaksud sejenis durian yang mempunyai isi berwarna kemerah-merahan, agak kecil, lazim berbentuk bulat dengan duri yang lebih halus dan panjang, "Ara" (Kenyah Cebup) bermaksud buah yang masak atas pokok, "Bukeg" (Lun Bawang - Bengas Melayu Sarawak) "Kalipopo" (Sungai/Pecaha Bajau), "Engkuk" (Iban) bermaksud buah seperti mentimun.








Dari segi zoologi antara contoh kata-katanya ialah "Jangi" (Bajau Sama) bermaksud sejenis ayam yang hitam keseluruhannya, "Jaik" (Bajau sama) bermaksud sejenis kucing yang hitam keseluruhannya.

Dari segi saikologi antara contoh kata-katanya sepertu "Agit" (Kadazan Dusun Bisaya) bermaksud mengulangi perbuatan yang sama untuk tujuan tertentu yang boleh berunsur negatif atau positif, "Angit" (Kadazan Dusun Tatana) bermaksud marah dan berhujah bermati-matian untuk mempertahankan cadangan dan pandangan, "Bedegis" (Melayu Sarawak) bermaksud suka meminta dibelanja /makan percuma sedangkan diri sendiri tidak pernah murah hati.

Dari segi veterina antara contoh kata-katanya seperti "Ayang" (Lun Bawang) bermaksud anak binatang terakhir dilahirkan pada satu masa kelahiran, "Baloi"
(Lun Bawang) bermaksud jatuh sakit dengan tidak disangka kerana sebelum ini
berkeadaan sihat.

Sementara itu, Prof Datuk Dr Asmah Haji Omar yang juga Dekan Fakulti Bahasa
dan Linguistik berkata pengambilan perkataan akar sesuatu dialek itu mestilah berdasarkan kepada keperluan.

Misalnya ada konsep-konsep yang istilahnya tidak ada dalam Bahasa Melayu tetapi ada dalam bahasa Sabah atau Sarawak barulah ia boleh diserapkan.

Dalam hal ini beliau mengambil contoh penggunaan perkataan "merarau" di Sarawak yang bermaksud jemputan untuk makan tengah hari dan bahasa Inggeris "lunch".

Prof Datuk Asmah juga berkata, "Bahasa Melayu di Malaysia, Indonesia dan Brunei tidak ada istilah untuk makan tengahari, so saya tengok orang Sarawak mulai menggunakan perkataan merarau bagi tujuan itu."

Malahan di Sarawak penggunaan perkataan "ruai" digunakan untuk tempat-tempat awam atau lobi di hotel-hotel. Perkataan ruai itu berasal daripada bahasa Iban yang bermaksud bahagian ruang tamu.

Beliau mengingatkan bahawa penyerapan 75,000 perkataan akar itu tidak boleh
dibuat mudah kerana ia boleh menjadi tidak semulajadi.






"Jadi bahasa lain diambil masuk ke dalam sesuatu bahasa itu berdasarkan keperluan, bukan sengaja-sengaja nak serap tak boleh, sengaja-sengaja nak serap itu akan jadi kacaulah bahasa kita nanti", tambah beliau.

Berhubung bahasa Iban beliau berkata sehingga hari ini Universiti Malaya merupakan satu-satunya universiti di dunia mengajar bahasa Iban dan kalau ada pihak yang ingin mempelajari selain bahasa Melayu, bahasa Iban adalah yang terbaik.

Beliau juga berkata, orang Malaysia terutama orang Melayu tidak begitu berminat mempelajari bahasa kerana bila bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan mereka menganggap sudah cukup dan tidak perlu mempelajari bahasa lain.

Bagaimanapun, beliau berpendapat dengan mempelajari lebih banyak bahasa akan menambahkan ilmu pengetahuan seseorang itu di samping cara berfikir dan berhubung dengan orang pun akan berbeza.

"Saya dapati orang yang tahu banyak bahasa itu lebih dapat menyesuaikan diri apabila berhubung dengan orang lain. Apabila kita belajar bahasa kita bukan sahaja belajar setakat berkomunikasi dalam bahasa itu, malahan memahami bagaimana orang yang belajar dalam bahasa itu berfikir, budaya mentalnya di samping menghindari konflik antara kita dengan dia," katanya.

Beliau juga berkata belajar sesuatu bahasa itu bukanlah senang kerana ia mengambil masa "malahan perlu diketahui bahawa ada dunia lain di samping dunia kita dan dunia dibina menurut cara berfikir orang yang menggunakan bahasa itu, yang penting ialah dia memahami bagaimana binaan dunia kita dalam mental kita dan kita memahami bagaimana binaan dunianya dalam mental dia."

Prof Datuk Asmah, yang melakukan penyelidikan bahasa Iban dari tahun 1963, turut mengimbas kembali bagaimana susah perit, dan rintangan yang perlu beliau lalui untuk menyelidik bahasa Iban dan terpaksa tinggal dengan masyarakat Iban.

Katanya, teknik mengumpul perkataan daripada bahasa-bahasa itu adalah satu
teknik yang tersendiri, dan tidak boleh dilakukan hanya begitu sahaja.

Sarawak dan Sabah memang kaya dengan bahasa yang indah, katanya mengakhiri temubual itu.

 

SIDANG REDAKSI BAHASA WANITA PENDIDIKAN AGAMA ALAM SEKITAR KESIHATAN 

KE LAMAN UTAMA