SAMY VELLU JANGKA SUBRAMANIAM TIDAK DICABAR
Oleh Ahmad Fuad Yahya

KUALA LUMPUR -- Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini menolak kemungkinan mana-mana daripada tiga naib presiden parti itu akan mencabar timbalannya Datuk S.Subramaniam, pada pemilihan parti itu Mei ini.

Samy Vellu, yang juga Menteri Kerja Raya berkata beliau yakin jawatan nombor dua itu tidak ditandingi kerana ketiga-tiga naib presiden itu tidak menunjukkan hasrat untuk naik lebih tinggi.

"Bagi jawatan presiden pula, saya tidak tahu tetapi bagi timbalan presiden, saya tahu kemungkinan tiada ada sebarang pertandingan," katanya semasa diminta mengulas laporan akhbar bahawa beliau telah memperakui pencalonan naib presiden MIC Datuk G.Palanivel bagi jawatan timbalan presiden.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persimpangan Putrajaya di plaza tol Putrajaya, Samy Vellu berkata beliau yakin tiada pertandingan bagi timbalan presiden kerana beliau dapat mengukur pemikiran anggota MIC.

"Saya tahu politik MIC lebih daripada orang lain. Hanya sedikit sahaja orang melalui 42 tahun dalam kehidupan politik. Saya sudah mencecah 42 tahun dalam politik MIC dan setiap sudut saya tahu, setiap hati orang saya tahu. Semasa saya lihat muka mereka, satu tahu apa yang mereka akan buat," katanya.

Kepada soalan sama ada beliau mahukan status quo itu dikekalkan, Samy Vellu
berkata: "Saya tidak kata saya suka status quo ini dikekalkan.

"Presiden... semua orang boleh tandidng tetapi bagi timbalan presiden, saya tidak mahu sesiapa sahaja sewenang-wenangnya kemukakan nama. Saya tidak meminta orang untuk tidak bertanding tetapi jangan kata orang ini menyokong beliau dan orang lain menyokong beliau."

Beliau berkata dalam MIC sekarang, tiada sesiapa yang berkempen dan semuanya sibuk melakukan tugas mereka kerana rentak parti itu kini ke arah pembangunan dan berorientasikan perkhidmatan.

Bagaimanapun, Samy Vellu berkata beliau menjangkakan pertandingan sengit akan berlaku bagi jawatan naib presiden kerana ramai orang mahukan tiga jawatan itu.

"Mereka berpendapat ia sebagai batu loncatan untuk pergi lebih tinggi dalam politik dan jawatan," katanya.

Samy Vellu berkata beliau menjangkakan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk K.Kumaran tidak akan mempertahankan jawatan naib presidennya manakala Palanivel dan seorang lagi penyandang Datuk M.Muthupalaniapan akan bertanding sekali lagi.

SIDANG REDAKSI BAHASA WANITA PENDIDIKAN AGAMA ALAM SEKITAR KESIHATAN