Universiti Vokasional tambah tenaga mahir bumiputera


USAHA Mara mahu menubuhkan sebuah universiti vokasional untuk menambah bilangan tenaga mahir Bumiputera dalam bidang teknikal pastilah diilhamkan oleh kejayaan Institut Tekologi Mara (kini universiti) melahirkan tenaga profesional Melayu dalam bidang perniagaan. Konsepnya sama cuma bidangnya saja yang berlainan.

Bagaimanapun, ada faktor tambahan yang menyebabkan kurangnya tenaga mahir Bumiputera dalam bidang teknikal, selain kemudahan tempat belajar yang akan disediakan oleh Mara melalui universiti barunya.

Antara faktor tambahan itu ialah kos belajar yang tinggi, syarat kemasukan yang agak ketat, peggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, jaminan pekerjaan yang tidak menentu dan lembabnya minat majoriti pelajar menengah kepada kerjaya teknikal.

Kos yang tinggi menyebabkan banyak pelajar Melayu yang tidak dapat menyertai sebarang kolej awam selepas peperiksaan SPM, mencari kerjaya di bidang lain. Kos yuran di kolej-kolej swasta yang menawarkan kursus serupa sentiasa menjadi halangan utama kepada pelajar Bumiputera yang bercita-cita tinggi tetapi kurang mampu.

Selain kos, penggunaan bahasa Inggeris secara meluas dalam semua kursus teknikal menakutkan calon-calon yang berminat tetapi tahap pemahaman bahasa itu kurang. Apa tidaknya jika semua buku rujukan dalam bahasa teknikal Inggeris.

Syarat kemasukan yang ketat yang diminta oleh kebanyakan kolej awam seperti keputusan cemerlang dalam matematik dan fizik juga membuat pelajar resah. Memang benar sains penting untuk kursus teknikal tetapi minat dan keserasian calon juga patut diambil kira. Seorang pelajar yang mempunyai bakat teknikal tetapi mendapat keputusan sederhana dalam sains peringkat SPM seharusnya diberi peluang mengasah bakatnya.

Jaminan pekerjaan juga penting: majikan tidak hanya memandang sijil atau ijazah apabila memilih pekerja. Mereka mahu calon yang mahir dan berpengelaman, khususnya yang berpengalaman.

Satu lagi halangan penting ialah minat yang lemah di kalangan kebanyakan pelajar Bumiputera kepada kerjaya teknikal, mungkin kerana kurangnya pendedahan.

Universiti baru Mara itu dapat menyelesaikan sebahagian besar daripada halangan ini seandainya ia berani mencuba pendekatan baru yang sesuai dengan kehendak semasa.

Kita lihat faktor pertama -- kurangnya tempat belajar. Universiti vokasional Mara itu sendiri adalah satu usaha untuk mengatasi masalah asas ini. Selain itu universiti itu boleh mengambil pendekatan tambahan untuk melipatkangandakan jumlah pelajarnya. Cara pertama ialah dengan mengadakan kursus separuh masa, dan kedua dengan membuka peperiksaannya kepada semua orang tanpa syarat kehadiran.

Kursus separuh masa seperti kuliah malam membolehkan mereka yang sudah bekerja mendapatkan kemahiran untuk dijadikan sandaran. Selalunya pelajar yang sudah bekerja lebih matang daripada pelajar lepasan sekolah. Dengan membuka peperiksaannya kepada semua orang, universiti itu memberi peluang kepada mereka yang belajar sendiri atau meyertai kursus yang sama di tempat lain mendapatkan ijazah.

Dengan pelajar lepasan sekolah, pelajar separuh masa dan pelajar sendiri, jumlah lulusan universiti itu akan lebih banyak. Ini tentulah menambah bilangan Bumiputera yang mempunyai kemahiran teknikal, matlamat utama penubuhan universiti itu.

Syarat kemasukan juga harus dilonggarkan. Ini tidak bermakna menerima sesiapa saja menyertai kursusnya, tetapi Mara boleh menerima calon matang atau calon yang lulus ujian keserasian teknikal. Ujian keserasian ini akan memastikan sama ada seseorang itu mempunyai bakat dalam bidang teknikal atau tidak. Memadailah mereka yang mencuba jalan ini mendapat kelulusan sederhana dalam ilmu sains di peringkat SPM. Jika perlu syaratkan calon ujian keseraian mempunyai kelayakan umur, contohnya hanya untuk calon 21 tahun ke atas.

Yuran belajar adalah isu besar yang dihadapi oleh ibu bapa yang mempunyai anak remaja. Untuk memasuki kolej, seseorang itu memerlukan kira-kira 6,000 hingga RM7,000 setahun. Ini tidak termasuk belanja harian, asrama dan buku. Mara sebagai sebuah agensi yang ditubuhkan untuk membantu Bumiputera sudah tentu menyediakan rancangannya sendiri. Memadailah kita mengatakan, bahawa 4,000 tenaga mahir Bumiputera yang menyumbang kepada ekonomi negara lebih bernilai daripada RM100 juta di dalam bank. Angka ini dikira dengan andaian, seseorang pelajar itu memerlukan RM25,000 untuk menamatkan sesuatu kursus.

KE LAMAN UTAMA