Make your own free website on Tripod.com

LIDAH PENGARANG

TABUNG BIASISWA MESTI DIKEKALKAN UNTUK FAEDAH PELAJAR MISKIN 

Pendidikan merupakan pelaburan paling penting bagi sebuah negara terutamanya negara
membangun untuk membangunkan sebuah negara bangsa yang maju dan bermaruah. Ini kerana
sumber manusia menjadi agen paling penting bagi menggerakkan jentera pembangunan
sesebuah negara dan ukuran kemajuan negara juga bergantung kepada kemajuan
penduduknya.
Selaras dengan kepentingan ini, adalah mustahak bahawa peluang pendidikan dijamin kepada
semua pihak di negara ini agar mereka tetap boleh sama-sama berada dalam arus perdana
pembangunan negara. Dalam keghairahan untuk meningkatkan mutu pendidikan negara untuk
menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan serantau, kerajaan memainkan peranan
yang sangat penting.
Penubuhan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional merupakan suatu langkah yang amat baik oleh
kerajaan bagi memastikan pelajar tidak berkemampuan tetap dapat meneruskan pengajian
masing-masing di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan beberapa institusi pendidikan
tinggi swasta (IPTS).
Sungguhpun ada jaminan ini, kita masih dapati ada pelajar miskin yang ditawarkan tempat
belajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) menolak tawaran itu kerana masalah beban
kewangan. Mereka sudah atau hampir pasti mendapat pinjaman daripada Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional tetapi latarbelakang hidup dan himpitan kemiskinan memaksa mereka untuk
menolak tawaran pinjaman pendidikan dan sekaligus menolak tawaran belajar di IPT.
Bayangkan anak-anak keluarga miskin yang terpaksa meminjam beribu-ribu ringgit untuk
menampung kos pendidikan masing-masing dan terpaksa membayar balik pinjaman itu selepas
mendapat pekerjaan dan pembayaran balik itu melibatkan tempoh waktu yang panjang.
Keadaan sudah tentu akan menghalang anak-anak keluarga miskin itu untuk membalas jasa ibu
bapa atau keluarga masing-masing dengan menghulurkan sumbangan wang yang lebih besar
kepada mereka. Ibu bapa atau anggota keluarga telah banyak bergadai bergolok untuk
menyekolah dan mendidik mereka. Sudah tentu anak-anak mereka mahu membalas jasa
dengan memberi sedikit kemewahan dan kesenangan kepada keluarga masing-masing setelah
memperolehi ijazah dari menara gading. Hakikat inilah yang perlu difahami oleh semua
pihak.
Berdasarkan senario ini, penolakan tawaran oleh pelajar miskin untuk belajar di IPT boleh
dijangka terus berlaku dan ia akan menggalkan matlamat kerajaan ke arah pendemokrasian
pendidikan di negara ini.
Sebagai jalan keluar, adalah wajar bagi kerajaan untuk mewujudkan semula tabung biasiswa
tetapi kali ini ia harus dikhaskan hanya kepada pelajar miskin. Pemberian biasiswa adalah
sangat diperlukan oleh pelajar miskin dan menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial
yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan. Sumber kewangan tidak semestinya datang daripada
kerajaan semata-mata, ia boleh datang daripada sektor swasta, terutamanya syarikat-syarikat
berjaya, yang diterajui oleh mereka yang dahulunya menikmati biasiswa kerajaan. Sudah
sampai masanya mereka berjasa pula kepada pihak lain yang benar-benar mengharap dan
memerlukan biasiswa.

KE LAMAN UTAMA