Menunggu buah yang tidak gugur
Oleh Mokhtar Alias


PERSOALAN mengenai pelaksanaan Dasar Perfileman Negara (DPN) sudah lama menjadi tajuk perbincangan yang panas. Karyawan filem sudah lama menyuarakan kekecewaan mereka terhadap kegagalan itu sehingga menyebabkan usaha membangunkan industri filem tempatan secara lebih berkesan belum kesampaian.

Perkara ini dicadangkan oleh Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM0, pada 1980. Kerajaan melantik Tan Sri Ghazali Shafie untuk membuat kajian dan saranan. Panel menyampaikan laporan kepada Menteri Penerangan pada akhir 1993.

Pada 1 Mei 1997, kerajaan mengumumkan penerimaan DPN dan mengumumkan pelantikan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan sebagai pengerusi jawatankuasa pelaksanaan, seperti penubuhan Lembaga Perfileman Negara.

Namun, sehingga hari ini, pelaksanaan DPN itu masih samar ketika industri perfileman berada dalam keadaan kacau.

Pada 10 Februari lalu, Menteri Penerangan Tan Sri Mohd Khalil Yaacob mengadakan dialog dengan persatuan yang ada kaitannya dengan industri perfileman tempatan, iaitu PFM diwakili Tan Sri Kamarul Ariffin Yassin, selain Presiden Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Datuk Jins Shamsudin, Presiden Seniman, Aziz Singah, Presiden Persatuan Pekerja Filem Malaysia, Abdul Shukor Kadir, Shuhaimi Baba mewakili Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Anuarudin A Rahman (Persatuan Pemamer Filem Malaysia).

Dalam pertemuan, hampir kesemua wakil mendesak kerajaan melaksanakan segera DPN. PFM melahirkan rasa kecewa kerana kerajaan masih belum melaksanakan syor yang dicadangkan dalam (DFN) untuk membangunkan industri perfileman tempatan.

Kamarul Ariffin berkata, sekalipun syor itu sudah diterima, pelaksanaannya belum dilakukan. Selepas satu dekad, dia melihat pengamal perfileman di Malaysia masih menungggu petunjuk jelas mengenai hala tuju industri perfilemanan.

Malangnya, sehingga kini belum ada berita kemajuan tugas jawatankuasa itu. Sekiranya timbul masalah, adalah wajar bagi jawatankuasa itu memberi laporan interim supaya harapan tinggi insan dan aktivis perfileman tidak disia-siakan, kata Kamarul Ariffin ketika bercakap dalam dialog itu.

Jins Shamsudin pula menyentuh mengenai industri perfileman tempatan memerlukan suntikan modal untuk membangunkan semula industri yang semakin membimbangkan kebelakangan ini. Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan dicadangkan mewujudkan suatu bentuk bantuan sebanyak RM200 juta. Bantuan itu boleh disalurkan dalam pelbagai bentuk, seperti geran dan pinjaman menerusi institusi kewangan tempatan.

Sebelum ini, kerajaan pernah memperuntukkan pinjaman berjumlah RM50 juta menerusi Bank Pembangunan dan Industri Malaysia untuk penerbitan filem dan persembahan pentas. Bagaimanapun, dia mendakwa bank berkenaan gagal melaksanakan tanggungjawabnya terhadap sektor perfileman kerana kurang kefahaman mengenai industri filem. Malah, soal modal ini turut disentuh dengan panjang lebar dalam DPN.

Malangnya, ketika membuat ulasan, Menteri Penerangan tidak menyentuh langsung mengenai DPN.

Sebaliknya, Mohd Khalil berkata Kementerian Penerangan menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 12 judul filem perlu diterbitkan setahun untuk menyemarakkan industri perfileman Melayu yang sedang menghadapi pelbagai masalah sekarang. Daripada jumlah itu, empat judul daripada jenis filem bermutu yang layak akan dipilih menyertai festival filem antarabangsa. Manakala bakinya menyentuh subjek popular yang digemari penonton masa kini.

Beliau berkata penerbit yang bersedia menyahut saranan itu akan diberikan pelbagai galakan dan bantuan untuk membolehkan hasrat itu menjadi kenyataan. Empat filem bermutu itu, jika mendapat sambutan, adalah suatu bonus terutama kepada penerbit. Kementerian menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan membantu, termasuk kemudahan kewangan, geran serta jaminan tayangan. RTM pula membantu promosi filem berkenaan.

Jika dilihat pada industri perfileman Melayu ketika ini, ia sangat membimbangkan. Dalam masyarakat, filem sangat berpengaruh dan tidak hanya membawa sarana hiburan semata-mata, malah ia sumber dagangan dalam pelbagai bentuk.

Perubahan dalam industri filem itu sangat pesat seperti disentuh oleh Graeme Turner dalam bukunya, Film As Social Practice.

"The role of the feature film within western cultures may no longer be a pronounced as it was in the 1930s, but it is still pervasive. Now, popular film is rarely presented to its public as a single product or commodity. It can be a kind of composite commodity, incorporating the Flashdance T-shirt or the Rambo doll into the purchase of the sinema ticket."

Ini bermakna filem tidak lagi produk self-contained industry, sebaliknya ia komoiditi budaya yang dilahirkan oleh konglomerat multinasional, di mana kepentingan mereka lebih kepada elektronik atau petroleum berbanding pembinaan magical images di layar perak.

Dalam suasana mencabar inilah perlu kerajaan segera merealisasikan DPN untuk membangunkan filem tempatan yang kini berada dalam sunset industry dan berdaya saing di peringkat global.

KE LAMAN UTAMA