Ethan Frome

AL-GHAZALI

Oleh Mohd Afendi Daud

 

PENGENALAN

 

Seseorang yang berkomunikasi dengan baik belum lagi boleh dianggap sebagai contoh pemimpin yang baik sekiranya masih lagi kekurangan dalam akhlak dan amal soleh.

 

Islam bukan sahaja melihat kepada kemampuan komunikator yang mampu berkomunikasi dengan orang lain sehingga boleh mempengaruhi yang lain. Sebaliknya komunikator juga hendaklah menjadi model dari segi sikap dan akhlak yang akan dinilai secara menyeluruh oleh orang lain.

 

Pendorong Imam al-Ghazali mengkaji dan mendalami ilmu pengetahuan kerana ciri-ciri dahagakan kebenaran dan mencari hakikat sesuatu.

 

Bagi Imam al-Ghazali mewajibkan menuntut ilmu kepada setiap individu. Pendapat ini berdalilkan kepada sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

 

Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap orang Islam

 

Sebagaimana ulama Islam lain, Imam al-Ghazali begitu memberi penekanan dan perhatian terhadap ilmu yang dimiliki sebagaimana firman Allaf Ta’ala yang bermaksud :

 

Dan di ketika Allah mengambil perjanjian dengan orang-orang yang diberikan kitab-kitab untuk diterangkan kepada manusia dan tidak menyembunyikannya” (Surah Ali Imran, Ayat 3)

 

 

 

RIWAYAT HIDUP AL-GHAZALI

 

Abu Hamid Muhammad al-Tusi al-Ghazali yang lebih dikenali sebagai al-Ghazali, dilahirkan di Tus, berhampiran bandar Meshed di Khurasan.[1]

 

Imam al-Ghazali r.a. merupakan ulama yang penting dalam sejarah Islam. Beliau mampu mendalami ilmu agama sekali gus menguasai falsafah.[2]

 

Semenjak awal lagi ,al-Ghazali telah terdedah kepada pengaruh tasawuf. Ketika masih kanak-kanak, al-Ghazali mula mempelajari Usuluddin dan Fiqh Syafi’i di bawah bimbingan Syeikh Ahmad ibn Muhamad al-Razkani di bandar Tus dan kemudiannya beliau belajar di Jurjan di bawah Imam Abu Nasr al-Isma’ili.[3]

 

Setelah menamatkan pengajiannya di Jurjan, beliau kembali ke Tus dan menetap di situ selama tiga tahun. Dalam masa tiga tahun beliau telah mempelajari tasawuf daripada Yusuf al-Nassaj dan juga melakukan latihan-latihan tasawuf untuk membersihkan jiwanya.[4]

 

Pada tahun 1077M, ketika berusia 20 tahun, beliau telah pergi ke Madrasah Nizamiyyah di Nishapur. Beliau menjadi murid kepada Abu-al-Ma’ali al-Juwayni yang dikenali sebagai Imam al-Haramayni, ulama al-Asy’ari yang paling terkenal pada zaman itu. Di bawah bimbingannya, al-Ghazali telah mempelajari Usuluddin, Ilmu Kalam, Sains Tabii, Falsafah dan Ilmu Logik. Besar kemungkinan beliau telah mempelajari ilmu tasawuf daripada Imam itu. Imam Haramaynilah memperkenalkan logik dan falsafah kepada al-Ghazali. Semenjak awal lagi al-Ghazali telah menunjukkan kealimannya yang luar biasa serta kecenderungan untuk berfalsafah. Imam Haramayni sendiri mengakui bahawa al-Ghazali adalah umpama lautan yang tidak bertepi.[5]

 

Sewaktu berada di Nishapur, al-Ghazali juga mempelajari teori dan amalan tasawuf daripada seorang alim fikah bernama al-Farmadhi, ketua ahli-ahli sufi di sana. Di bawah bimbingannya, al-Ghazali mengamalkan latihan-latihan tasawuf, tetapi tidak sampai ke tahap ‘mendapat ilham suci dari alam tinggi’. Oleh itu al-Ghazali meninggalkan tasawuf dan berpaling tadah kepada usuluddin dan falsafah. (Dalam krisis kerohanian pada 1095M, al-Ghazali kembali kepada tasawuf. Beliau tetap menjadi seorang sufi dan ulama al-Asy’ariah sehinggalah beliau meninggal dunia.)[6]

 

Al-Farmadhi meninggal dunia pada tahun 477H/1084M, manakala Imam al-Haramayni pula meninggal pada tahun 478H/1085M. Al-Ghazali kemudian berjumpa Nizam al-Mulk, Wazir Raja Saljuk Malikshah. Nizam al-Mulk ialah seorang ilmuan yang unggul yang telah berjaya mengumpulkan ulama dari semua bidang ilmu, sehingga perbahasan serta perbincangan mengenai pelbagai topik, sama ada akademik mahupun kesusasteraan telah menjadi amalan harian. Melalui perbahasan-perbahasan ini maka terserlah kepandaian serta keupayaan al-Ghazali yang tiada tolok bandingnya itu.[7]

 

Ilmu al-Ghazali yang mendalam dalam fikah Islam, usuluddin dan falsafah, telah meyakinkan Nizam al-Mulk. Beliau telah dilantik menjadi seorang profesor Ilmu Fikah di Kolej Nizamiyyah yang terkenal di Baghdad pada tahun 484H/1091M.[8]

 

Kemasyhurannya sebagai seorang alim, guru serta pemidato yang petah berucap tersebar dengan cepat. Kuliah-kuliahnya semakin menarik perhatian pelajar-pelajar dan ulama pada masa itu. Selain 300 pelajarnya, beratus orang kenamaan dan terhormat turut menghadiri kuliah-kuliahnya. Al-Ghazali kemudiannya diakui sebagai alim paling utama dalam mazhab Asy’ariah. Nasihat-nasihatnya diminta dalam bidang keagamaan dan politik dan pengaruhnya setanding dengan pembesar-pembesar tertinggi dalam negara. Pada tahun 485H, Khalifah Abbasiyah, Muqtadi bi’Ilah melantiknya sebagai duta ke istana Turkhan, Khatoon. Khalifah Abbasiyah, yang seterusnya iaitu Mustazhir bi’Llah, juga amat menghormati al-Ghazali. Atas dorongan baginda, al-Ghazali menulis sebuah risalah untuk mematikan ajaran Batiniyah. Beliau menamakan buku itu al-Mustazhiri sempena nama Khalifah itu.[9]

 

Beliau sanggup meninggalkan karier unggulnya, kemasyhuran serta kedudukan demi kepuasan jiwa. Pemikiran al-Ghazali mula berubah apabila beliau melihat kehidupan intelektual, moral, keagamaan, politik dan budaya pada zamannya. Setiap hari perasaan ini semakin kuat memberontak dalam dirinya. Al-Ghazali sendiri telah menerangkan pertarungan dalaman yang hebat itu yang memaksanya untuk meninggalkan tugasnya sebagai seorang profesor dan hidup secara zuhud:[10]

 

“…..Aku meneliti pengetahuanku sendiri. Aku dapati diriku tidak mempunyai kemampuan dalam ilmu seperti ini, aku hanya mempunyai pengetahuan dalam perkara hissiyat dan perkara dharuriyat. Lalu aku mengkaji (kedua-duanya) sungguh-sungguh. Aku berpendapat adakah aku patut meragukan diriku di dalam hal ini. Akhirnya keadaan ini berterusan sehingga aku juga tidak dapat menerima kebenaran di dalam perkara-perkara mahsusat, pendapat pancainderalah yang menentukannya. Kemudian pendapat ini dipatahkan pula oleh pendapat akal, sehingga tidak ada lagi jalan untuk mempertahankan penafian itu.”

 

Al-Ghazali kemballi semula kepada kesarjanaan dan penulisan. Amat perlu bagi al-Ghazali untuk menafikan golongan falsafah dan zindiq (atheis) serta bertanggungjawab membangunkan ketinggian Islam melalui bidang keilmuan dan kesarjanaan, terutamanya setelah Allah mengurniakan ilmu yakin kepadanya. Oleh itu, beliau terdorong untuk mempertahankan agama. Beliau menerangkan perasaannya seperti berikut:

 

Sebenarnya, aku dapati diriku berupaya untuk menunjukkan kelemahan keyakinan falsafah mereka kerana ilmuku yang mendalam mengenainya. Oleh itu aku merasakan keinginan yang besar untuk mengambil tugas ini kerana ia merupakan keperluan masa ini.”[11]

 

Al-Ghazali telah pergi ke Nishapur pada tahun 499H untuk kembali mengajar di Madrasah Nizamiyyah. Walau bagaimanapun terdapat perbezaan yang besar antara beliau ketika mula mengajar dahulu dengan kalli kedua ini. Dahulu, beliau mengajar untuk mendapatkan penghormatan, kekayaan dan kedudukan. Kini beliau menganggap dirinya ditugaskan untuk menyeru manusia supaya membersihkan moral dan jiwa mereka. Beliau menerangkan perbezaan tersebut seperti berikut :

 

“Tetapi sekarang aku hendak mengajar mereka dengan ilmu-ilmu yang boleh membantu mereka daripada mengejar kekayaan dan pangkat semata-mata. Inilah niat dan cita-citaku sekarang. Allah mengetahui segala cita-citaku ini.”[12]

Al-Ghazali telah diperintahkan oleh Fakhr al-Mulk, anak kepada Nizam al-Mulk yang telah menjadi wazir kepada Sultan Sanjar dari bangsa Saljuk, untuk kembali ke Naisabur pada bulan Zulkaedah 499H. Beliau dikehendaki menjadi ketua profesor di Madrasah Nizamiyyah. Fakhr al-Mulk telah dibunuh pada permulaan tahun 500H oleh seorang pesuruh Batiniyah dan al-Ghazali pun meninggalkan tugasnya tidak lama selepas itu. Beliau kembali ke Tus dan mendirikan sebuah madrasah dan mengajar para pelajarnya ilmu ‘aqidah dan tasawuf di situ sehingga beliau meninggal.

 

Sultan Saljuk telah melantik Ahmad, anak sulung Nizam al-Mulk, sebagai wazirnya pada tahun 500H. Beliau telah meminta al-Ghazali supaya bertugas semula di Madrasah Nizamiyyah di Bahgdad merupakan institusi terulung masa itu dan merupakan kemegahan pendidikan serta keagamaan bagi pemerintahan Abbasiyah. Alasannya di seluruh dunia Islam, pada masa itu tiada yang boleh menggantikan al-Ghazali. Khalifah Abbasiyah dan Sultan Saljuk telah berusaha bersungguh-sungguh meminta al-Ghazali kembali ke Baghdad tetapi beliau tetap enggan.[13]

 

Al-Ghazali menghabiskan hari-hari akhir kehidupanya dalam keadaan seperti seorang pelajar. Sebelum ini, beliau tidak dapat menumpukan perhatiannya kepada pembelajaran ilmu Hadith. Oleh itu, beliau telah mempelajari Sahih al-Bukhari dan Muslim di bawah seorang muhaddith terkenal masa itu, Hafiz Amr ibn Abu al-Hassan al-Rawasi. Malah beliau mendapat ijazah kerana telah mempelajari kedua-dua kitab tersebut di bawah al-Rawasi. Seorang periwayatnya, Ibn ‘Asakir menulis:

 

Pada hari terakhirnya, al-Ghazali menumpukan perhatian penuh kepada kajian ilmu Hadith. Masa ini, beliau lebih suka bersama dengan para ulama, dan mempelajari Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, yang dianggap sebagai kumpulan Hadith yang paling sahih.”[14]

 

Al-Ghazali telah menulis sebuah buku mengenai teori perundangan Islam bertajuk al-Mustasfa setahun sebelum beliau meninggal dunia. Bukunya yang terakhir bertajuk Iljam al-’Awam ‘an Ilm al-Kalam dan ia tamat ditulis hanya beberapa hari sebelum kematiannya.[15]

 

Pada hari Isnin 14 Jamadil Akhir 505H (Disember 1111) ketika berumur 55 tahun Al-Ghazali meninggal dunia di Tehran. Jenazah beliau dikebumikan diperkuburan al-Tabaran, di sebelah Timur dan berdekatan dengan kubur penyair al-Firdausi yang terkenal.

 

Front Page

 



[1] Azlan Khalili Shamsudin, Al-Ghazali dan Konsep Al-Nur, DBP, Kuala Lumpur, 1991, hlm 1

[2] A.H.A.Nadwi, Saviours of Islamic Spirit, Jilid 1. hlm 124

[3] A.H.A.Nadwi, Saviours of Islamic Spirit, Jilid 1. hlm 122:MM Sharif, History of Muslim Philosophy, Jilid 1, hlm 582-583

[4] MM Sharif, Ibid, hlm 583; A. Quesem, The Ethics of Al-Ghazali, hlm 16

[5] MM Sharif, Ibid, hlm 583, A. Quesem, Ibid, hlm 17

[6] Ibid

[7] MM Sharif, Ibid hlm 584

[8] MM Sharif, Ibid hlm 584, A.H.A Nadwi, Ibid, hlm 112-113

[9] MM Sharif, Ibid hlm 584, A.H.A Nadwi, Ibid, hlm 113

[10] A.H.A Nadwi, Ibid, hlm 113

[11]Azlan Khalili Shamsudin, Al-Ghazali dan Konsep Al-Nur, DBP, Kuala Lumpur, 1991, hlm 14

[12] A.H.A Nadwi, Ibid, hlm 123

[13] A.H.A Nadwi, Ibid, hlm 167-169

[14] A.H.A Nadwi, Ibid, hlm 169-170

[15] Azlan Khalili Shamsudin, Al-Ghazali dan Konsep Al-Nur, DBP, Kuala Lumpur, 1991, hlm 19