Kemelut dalam filem Lt Adnan
Oleh Mokhtar Alias


Pengguguran pelakon daripada membintangi sesuatu penerbitan filem adalah sebahagian daripada rencah kehidupan dan warna warni yang menyelubungi industri perfileman. Penerbit atau pengarah salahkan pelakon. Bagi pelakon pula salahkan satu pihak yang lagi satu.

Pokoknya, pelakon ibarat mentimun hendak melawan duri durian - tergolek atau digolek, pelakon juga yang kena. Dalam isu ini, kita sukar mencari salah siapa dan tidak berniat untuk mencari salah sesiapa.

Pengguguran Azri Iskandar daripada membintangi filem Lt Adnan juga tidak kurang menariknya kerana inilah julung kalinya pengarah Aziz M Osman naik angin. Difahamkan, inilah kali pertama dia bertindak dalam menggugurkan pelakon sepanjang kerjaya kepengarahannya. Antara filem arahannya ialah Fenomena, XX Ray, Puteri Impian dan Senario.

Azri juga tidak pernah dikaitkan masalah disiplin ketika berlakon drama dan filem sebelum ini, termasuk Puteri Impian 2 dan Perempuan Melayu Terakhir. Malah, sehingga ini dia masih membisu dan tidak mengeluarkan kenyatannya sejak dikeluarkan daripada filem Lt Adnan.

Azri sepatutnya membawa watak utama, Leftenan Adnan Saidi dan sudah menjalani penggambaran sebanyak 12 adegan. Penggugurannya menyebabkan penerbit kerugian hampir RM40,000 termasuk kos membuat semula adegan lakonan Azri.

Pengantinya ialah pelakon Hairie Othman yang diibaratkan bidan terjun, selepas usaha mendapatkan Rosyam Nor dan Norman Hakim gagal disebabkan mereka terbabit dalam penggambaran.

Filem itu memulakan penggambaran sejak 1 Februari lalu. Kini, ia diteruskan bersama Hairie.

Aziz mendakwa dia mengambil tindakan menggugurkan Azri kerana masalah disiplin pelakon itu dan keenggannya bekerja secara berpasukan, menyebabkan Azri Iskandar digugurkan daripada penggambaran filem Lt Adnan.

Penerbit filem itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah bersetuju dengan pengguguran Azri. Separuh daripada jumlah bayaran awal sudah diberikan kepada Azri dan penerbit dikatakan bercadang mendapatkannya semula.

Sebelum itu, Azri tidak hadir di lokasi penggambaran selama tiga hari berturut-turut tanpa sebarang alasan walaupun surat amaran sudah dihantar. Sejak awal penggambaran lagi Azri dikatakan memperlihatkan sikap sukar memberi kerjasama.

Mengikut laporan Berita Harian, baru-baru ini, Aziz M Osman, dalam sidang akhbar mengakui pihaknya kecewa dengan sikap Azri.

Bagi saya, sikap Azri itu menjejaskan imej orang seni kerana pihak tentera cuba bersama-sama dalam industri filem. Walaupun berat, mereka terpaksa menerima hakikat ini.

Sikap Azri sedikit sebanyak melabelkan imej pelakon lain, tetapi tidak semua orang filem begitu. Inilah juga kali pertama saya hadapi masalah seumpama ini sejak terbabit dalam bidang filem. Dari awal penggambaran, Azri menunjukkan sikap kurang selesa dan dia memberi alasan kepada saya, dia tidak berpuas hati dengan orang yang bekerja di sekitarnya dalam penggambaran.

Sampai satu peringkat, dia tidak datang ke lokasi selama tiga hari berturut-turut, biarpun pembantu saya pergi memanggilnya. Malah, jurukamera yang juga kawan baiknya, Badaruddin Azmi turut memujuknya selama empat jam supaya datang ke lokasi. Tapi, dia masih enggan.

Oleh itu, kita dalam produksi Lt Adnan menganggap Azri sebagai pelakon yang tidak berdisiplin, pentingkan diri dan tidak boleh bekerja secara berpasukan. Dengan dukacitanya dia digugurkan daripada filem alaf baru ini, kata Aziz.

Sebagai pengarah filem itu, dia tidak dapat menerima sikap sedemikian. Pada pada peringkat awalnya dia cuba memahami perasaan dan masalah yang dihadapi Azri sehingga adakalanya sikap yang ditunjukkan pelakon itu menimbulkan masalah kepada pihak ATM.

Mungkin pada awalnya ATM tidak faham mengenai cara seseorang pelakon serius yang menggunakan kaedah lakonan ketika bekerja. Saya terangkan kepada mereka sikap Azri itu mungkin satu kaedah untuk dapatkan mood.

Namun, ia berlanjutan hingga akhirnya menyebabkan masalah dalam kerja produksi dan tidak puas hati pihak lain. Seperti seorang bintang terkenal, kita beberapa kali memujuknya. Mungkin, dia rasa saya sendiri kena jumpa dia. Tapi, itu tidak patutlah. Azri juga sudah tahu keputusan (menggugurkannya dari filem itu) yang kita buat ini.

Kesimpulannya, saya dapat katakan Azri adalah manusia yang pelik atau complicated person. Sebenarnya,saya tidak begitu selesa memberitahu hal ini dan mengadakan sidang media ini tetapi ia atas arahan ATM sebagai penerbit Lt Adnan, kata Aziz.

Filem Lt Adnan turut menampilkan pelakon Umie Aida, Faizal Hussein, Shamshul Azhar, Shaharuddin Thamby, Farid Amirul Hisham, Rusdi Ramli, Sherie Merlis dan M Osman.

Kos membuat filem ini dianggarkan sebanyak RM2 juta iaitu antara kos yang dianggap tinggi dalam pembikinan filem tempatan. Jika tiada aral melintang, filem ini akan siap pada 10 April ini.

KE LAMAN UTAMA