Make your own free website on Tripod.com

DILEMA WANITA BEKERJA Oleh: Zainal Baharum

Penglibatan dan peranan wanita dalam membangunkan masyarakat dan negara adalah penting
berasaskan kepada tugas dan tanggungjawab berbagai aspek pembangunan negara seganding
dengan kaum lelaki.

Pembangunan sebuah negara menjamin kebahagiaan hidup rakyat. Ia merupakan usaha menuju
ke arah yang positif dan ke tahap yang lebih tinggi berasaskan konsep pembangunan
bersepadu dari aspek fizikal dan spiritual.

Secara umumnya Islam tidak menghalang kaum wanita untuk melakukan pekerjaan yang baik di
luar rumah sekiranya ia merupakan keperluan diri dan keluarga atau untuk masyarakat dan
negara. Atas dasar keperluan inilah wanita-wanita pada zaman nabi Muhammad s.a.w. turut
sama membantu keluarga mereka seperti mengembala, bertani, berniaga dan sebagainya.
Sebagai contoh Asma' bt Abu Bakar bekerja sebagai petani yang membantu suaminya
mengangkut hasil buah tamar dari ladang ke pasar yang jauhnya kira-kira 1.4km.

Islam menganggap segala pekerjaan yang dilakukan oleh wanita atau lelaki adalah ibadah. Ini
kerana ajaran Islam tidak memisahkan mana-mana amalan manusia yang dilakukan dengan niat
ikhlas dan tidak terkeluar dari landasan dan peraturan Islam maka ianya dianggapkan amal
soleh.

Berdasarkan budaya hidup masyarakat Malaysia, penglibatan kaum wanita dalam tugas-tugas di
luar rumah adalah perkara biasa. Adalah menjadi kebiasaan bagi wanita bekerja membantu
keluarga sama ada sebagai petani, penternak dan peniaga. Penglibatan mereka dalam
kerja-kerja seumpama ini tidak menimbulkan banyak masalah kerana kerja-kerja tersebut
tidak terikat dengan berbagai peraturan sama ada dari segi masa, peraturan pejabat dan
sebagainya.

BEKERJA
Permasalahan yang dihadapi pada masa kini ialah bagi wanita yang sudah bersuami dan
mempunyai anak yang keluar bekerja sepenuh masa di samping terikat dengan berbagai
peraturan perkhidmatan dan jabatan atas majikan yang mesti dipatuhi bagi menjamin masa
depan masing-masing.

Wanita terpaksa mematuhi berbagai arahan pejabat sama ada dari segi kedatangan mengikut
waktu atau mematuhi arahan di dalam pejabat atau di luar pejabat. Situasi seumpama ini
kadangkala mempengaruhi emosi dan tekanan perasaan yang kadang-kala terbawa-bawa dalam
kehidupan rumahtangga dan keluarga. Ada masanya suami atau anak-anak jatuh sakit,
sedangkan isteri atau ibu terpaksa bekerja. Dalam situasi begini, wanita akan menjalan
tugasnya dengan perasaan yang berbelahbagi dan gelisah. Keadaan ini akan mengganggu
konsentrasinya terhadap pekerjaan. Kesimpulannya bagi kaum wanita yang menjawat jawatan
akan merasa serba salah kerana terpaksa meninggalkan buat sementara tugas-tugas pengurusan
rumahtangga yang mesti diuruskan. Masalah akan menjadi lebih gawat lagi apabila di rumah
tidak ada pembantu yang sesuai atau tidak ada tempat asuhan kanak-kanak yang terjamin dan
sempurna untuk menjaga anak-anak mereka.

Kegagalan sesebuah keluarga dan kurangnya perhatian ibu pada anak-anak lantaran kesibukan
mereka di luar rumah sering dikaitkan dengan salah satu punca gejala sosial.

Dilema juga akan timbul apabila tugas wanita di luar rumah diberi penghargaan dan nilai yang
lebih tinggi berbanding tugas-tugas di dalam rumahtangga. Sedangkan potensi tabiinya
cenderung kepada penyelenggaraan tugas di dalam rumahtangga.

Situasi begini memaksa wanita untuk membuat pilihan sehingga ada antara mereka yang
sanggup berpisah dengan suami dan anak-anak demi mengejar kecemerlangan kerjaya dan
melibatkan diri secara langsung dalam pembangunan negara, dan tidak kurang pula antara
mereka yang berhenti kerja kerana ingin memenuhi tanggungjawab menyelenggarakan
tugas-tugas rumahtangga sahaja.

Dilema juga timbul akibat dari adanya pandangan sesetengah ulama tradisional terutama dari
Timur Tengah dan Indo-Pakistan yang menafikan kebebasan ekonomi di kalangan wanita.
Mereka berpendapat wanita adalah dilarang menceburkan diri dalam pembangunan ekonomi
kerana perbezaan sifat semula jadi dengan lelaki. Bagi mereka tugas wanita hanyalah untuk
menjadi seseorang isteri dan ibu dan penglibatan wanita dalam bidang perniagaan akan
merosakkan fitrah dan sifat kewanitaannya serta bertentangan dengan fungsi semula jadinya.

Oleh kerana adanya pandangan seumpama ini, sebahagian kaum wanita merasa bersalah
apabila menceburkan diri dalam pembangunan negara. Mereka terpaksa akur dengan adat yang
telah lama dipegang dan pendapat golongan ulama ini, walaupun perlu untuk bekerja dan ingin
turut serta dalam usaha-usaha pembangunan negara.

Suatu perkara yang harus direnungkan bersama ialah ada kemungkinan setengah ulama
mengambil sikap bahawa tugas wanita hanyalah untuk menjadi isteri dan ibu ialah kerana
budaya kerja yang terdapat di beberapa sektor pekerjaan seperti pelancongan, perkilangan
dan sebagainya, tidak mencerminkan nilai-nilai yang murni dan tidak bersesuaian dengan
ajaran-ajaran Islam seperti berpakaian menjolok mata dan tidak memelihara akhlak Islam.

Kemungkinan ulama tidak bermaksud menghalang wanita bekerja di luar rumah kerana Islam
sendiri tidak pernah menghalang wanita bekerja, tetapi tindakan tersebut dibuat kerana
suasana kerja yang ada pada hari ini di beberapa sektor bertentangan dengan nilai-nilai Islam.

Dilema juga mungkin timbul kerana pihak majikan terutama pihak swasta tidak cuba
memenuhi keperluan dan suasana kerja yang sesuai dengan wanita malah sebaliknya mereka
hanya memikirkan keuntungan semata-mata. Contohnya terdapat giliran kerja waktu malam
untuk kaum wanita. Sudah tentu wanita yang terpaksa bekerja menghadapi dilema.

Suatu faktor lagi yang dianggap tidak kurang pentingnya ialah tanggapan sebahagian kaum
lelaki bahawa tugas-tugas rumahtangga adalah tanggungjawab kaum wanita semata-mata dan
lelaki berfungsi hanya sebagai ketua rumahtangga. Dalam hal ini, isteri yang keluar bekerja
untuk membantu menambahkan pendapatan suami akan merasa seolah-olah pengorbanan
mereka tidak dihargai dan kerja yang mereka lakukan hanya menambahkan beban yang tidak
diwajibkan ke atas mereka.

Inilah antara faktor timbulnya dilema di kalangan wanita muslim dalam usaha mereka
melibatkan diri dalam pembangunan negara.

PENYELESAIAN
1. Menyedari hakikat bahawa kebanyakan wanita yang keluar bekerja dan melibatkan diri
secara langsung dalam pembangunan negara adalah kerana maslahan, pihak kerajaan
seharusnya memastikan bahawa setiap jabatan kerajaan dan swasta ada tempat asuhan
kanak-kanak semasa ibu-ibu mereka bekerja.

2. Kaum wanita seharusnya memilih kerja yang sesuai dengan fitrahnya seperti menjadi
pendidik, doktor, jururawat dan seumpamanya. Wanita tidak seharusnya ghairah untuk
berlumba dengan lelaki di dalam setiap bidang yang diceburi oleh lelaki. Penentuan
keutamaan bidang yang patut diceburi oleh wanita adalah perlu. Ini penting kerana bidang
pembangunan negara amat luas dan semakin mencabar sejajar dengan peningkatan taraf
kemajuan sesuatu bangsa dan negara. Usaha ini juga penting untuk merangka kurikulum
pendidikan yang sesuai untuk penglibatan wanita yang berkesan dalam pembangunan negara.

3. Wanita juga seharusnya menceburi bidang kerjaya yang memberikan ruang dan masa yang
lebih untuk berdamping dengan suami dan anak-anak. Pastikan masa yang terluang digunakan
sebaik-baik mungkin, supaya ia dapat memberi kesan yang positif dan bermanfaat.

4. Wanita muslim seharusnya insaf dan melihat bahawa fugsi pemupukan "Keluarga Bahagia" itu
jauh lebih penting daripada fungsi di luar, terutama dalam persaingannya dengan lelaki dalam
bidang-bidang yang memaksa seseorang itu mengorbankan fungsi asas mereka yang sepatutnya
diberikan untuk kesejahteraan keluarga.

5. Wanita Muslim juga semestinya mengetahui hak dan tanggungjawab sebagai anggota
masyarakat seperti yang telah dijelaskan oleh al-Quran dan as-Sunnah supaya wanita tidak
diperlakukan sewenang-wenangnya.

6. Dalam hal ini wanita seharusnya sedar bahawa tugas mengurus rumahtangga dan mendidik
anak-anak adalah tugas yang amat penting untuk mewujudkan keharmonian rumahtangga dan
membina insan yang berakhlak mulia, jujur, rajin berusaha, tabah serta amanah.

7. Setiap wanita Muslim yang bekerja di luar rumah mesti mematuhi syarat-syarat yang telah
ditetapkan oleh para ulama; iaitu:

a) Memelihara kehormatan sebagai wanita, isteri yang setia dan ibu yang dimuliakan, apabila
berada dengan lelaki di tempat kerja.

b) Tidak menjejaskan kehidupannya dalam rumahtangga sebagai seorang isteri yang
mempunyai sifat lemah-lembut dan kasih sayang serta tidak mengabaikan tanggungjawab
terhadap suami dan anak, di samping bersifat lemah lembut dan kasih sayang.

c) Tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu dengan memberi asas pelajaran yang baik
terhadap anak yang masih kecil.

d) Tidak mempunyai sikap bahawa bekerja di pejabat sebagai jalan untuk melarikan diri
daripada tugas sebagai surirumah yang dianggap membosankan.

8. Pihak majikan seharusnya menyediakan suasana kerja yang sesuai untuk wanita dan
mewujudkan pengurusan yang betul dan sesuai dengan sifat-sifat kewanitaan.

9. Pekerja wanita, hendaklah berbudi pekerti tinggi, melaksanakan kerja di tempat dan
keadaan yang jauh dari fitnah, agar kerja-kerja yang dilakukan tidak mengakibatkan skandal
masyarakat dan akhlak.

10. Dalam hal-hal yang berhubung dengan kehidupan rumahtangga, kaum lelaki seharusnya
mengubah sikap dan amalan mereka yang menyerahkan urusan rumahtangga hanya kepada
kaum wanita. Memang benar dalam Islam, lelaki dan wanita mempunyai tanggungjawab
masing-masing dalam kehidupan berumahtangga, namun begitu mereka seharusnya sedar
bahawa di sana juga ada tugas dan tanggungjawab bersama. Dengan adanya sikap tolong
menolong dan kerjasama antara suami isteri, dilema ini akan dapat di atasi.

KESIMPULAN
Kesimpulannya wanita memainkan peranan yang penting dalam membangunkan negara. Mereka
juga mengurus kerja rumahtangga dan mendidik anak-anak. Tugas ini secara tidak langsung
adalah saham yang besar dalam usaha untuk membekalkan sumber manusia yang berkualiti
untuk pembangunan negara.

Umumnya dilema penglibatan wanita dalam pembangunan negara dapat diatasi sekiranya
cadangan-cadangan yang diutarakan tadi dapat dipertimbang dan dilaksanakan.

Pihak yang bertanggungjawab terutama majikan di sektor awam mahupun swasta sepatutnya
peka terhadap keperluan pekerja wanita dan peranan mereka dalam tugas harian, tugas sosial
dan tugas kekeluargaan mereka.

Kaum wanita sendiri terutamanya yang telah berumahtangga mestilah bijak menguruskan masa
dan sentiasa menghormati tuntutan agama. Kaum lelaki pula seharusnya bertimbangrasa dan
sama-sama bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana bahagia dalam rumahtangga kerana
keluarga bahagia negara sejahtera.